Nov 06, 2025 - FASSelangor FC akan menerima kunjungan Persib bagi perlawanan keempat saingan AFC Champions League Two 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini pada jam 8:15 malam.
Tahun kedua Gergasi Merah bersaing dalam saingan ini, pasukan telah diundi dalam Kumpulan G bersama Bangkok United FC, Lion City Sailors FC dan Persib Bandung.
Menurut Christophe Gamel, Ketua Jurulatih Selangor FC, berusaha untuk perbaiki kekurangan pasukan dan yakin para pemain akan berikan saingan yang tinggi kepada Persib.
“Ini adalah perlawanan yang sangat penting untuk kita, jadi kita sudah berusaha untuk memperbaiki kekurangan yang ada kerana ini. Sudah tentu, Persib juga mahu dapatkan kemenangan, tetapi sejujurnya, fokus saya hanya tertumpu kepada pasukan. Kita tahu kualiti yang mereka miliki, kita sudah melihatnya dan mengalaminya semasa beraksi di tempat mereka. Jadi, sedikit sebanyak tahu bagaimana cara untuk mengatasi beberapa perkara,” yakin Gamel.
“Pasukan sentiasa bermain untuk menang, dan saya yamin dengan para pemain kerana mereka akan tentukan segala-galanya di atas padang. Kita telah membuat persiapan rapi dan perbaiki aspek-aspek yang perlu untuk berikan persembahan yang terbaik pada malam ini,” jelasnya lagi.
Bagi keberadaan pemain, Mukhairi Ajmal dan Noor Al Rawabdeh kini sudah kembali menjalani aktiviti bersama rakan sepasukan yang lain. Manakala, Sharul Nazeem tidak dapat bersama pasukan kerana Ligamen anterior cruciate (ACL), Haiqal Lau mengalami ketegangan otot betis, Fazly Mazlan pun terseliuh buku lali dan Zikri Khalili. Selain daripada mereka, para pemain Merah Kuning akan berjuang untuk perlawanan malam ini.
Perlawanan yang pasti menjanjikan aksi yang sengit di antara dua Serumpun, Malaysia dan Indonesia. Dapatkan tiket anda sekarang, di sini!
Pihak pengurusan Selangor FC yakin pasukan tidak akan mudah menyerah kalah dan akan berikan persembahan yang lebih baik daripada semasa di Indonesia. Ayuh, Gergasi Merahku!
Demi Kebanggaan!